Permainan sepak bulu ayam terkenal sejak dahulu kala. Dapat dibanggakan, permainan ini sampai kini masih menjadi pilihan untuk beriadah dan mengisi waktu lapang. Biasanya kanak-kanak lelakilah yang suka benar dengan permainan ini. Lebih menarik kerana permainan ini sesuai dimainkan bila-bila masa sahaja. Biasanya waktu petanglah yang sesuai untuk bermain. Dari segi pemilihan tempat pula, seelok-eloknya biarlah kawasan lapang agar pergerakan pemain tidak terbatas.
Ia lebih seronok dimainkan beramai-ramai atau berpasukan. Kalau dah tak ada, berdua pun jadilah. Dahulu, waktu petang di kampung-kampung, permainan inilah menjadi pilihan. Pemain tidak boleh marah, maka senda gurau tidak ketinggalan dan membuatkan gelanggang riuh rendah. Sekarang, walaupun tidak sekerap dahulu, kita masih dapat menyaksikan permainan warisan ini. Masih ada kanak-kanak yang menghidupkan permainan ini. Di sekolah, pada waktu rehat umpamanya, kedapatan murid-murid yang menunjukkan kemahiran menimbang bulu ayam ini.
Permainan ini lebih menekankan kemahiran menimbang bulu ayam dengan kaki. Memandangkan permainan ini merupakan perlumbaan mengutip mata, pemain akan menimbang bulu ayam sekerap yang mungkin tanpa menjatuhkannya ke tanah. Semakin tinggi jumlah timbangan, semakin terserlahlah kemahiran si pemain. Jadi, si pemain mesti pantas pergerakkan kakinya. Barangkali atas faktor inilah maka kaum perempuan tidak menggemari permainan ini.
Satu pencapaian yang dikira memuaskan jika kiraan mencecah tiga angka. Lagi tinggi kiraan, lagi bersemangatlah bermain. Kiraan pula diiringi gemuruh dengan sorakan penonton. Pemain kian kental semangatnya. Moga-moga, bulu ayam dapat ditimbang terus dengan elok, tidak terburai dan tidak ditiup angin kencang. Moga-moga si pemain tidak tersepak akar atau batu dan bulu ayam jatuh ke tanah.
No comments:
Post a Comment